Inisiatif untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa
Melayu sebagai sesuatu yang menarik boleh dipelbagaikan. Aktiviti permainan
bahasa seperti Teka Silang Kata (Sahibba) berupaya merangsang dan mengekalkan
minat agar murid-murid suka akan mata pelajaran Bahasa Melayu secara
berterusan. Kegiatan berpersatuan sebenarnya merupakan aktiviti serampang dua
mata agar selari dengan proses
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Penggemblengan seluruh tenaga guru
Bahasa Melayu untuk mempelbagaikan aktiviti dalam Persatuan Bahasa Melayu telah
dirancang secara berterusan agar prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu yang sedia
ada akan terus dilonjakkan sehingga mencapai 100 lulus A.
Persatuan Bahasa Melayu berasa amat bertuah apabila pihak pentadbiran SHAKS meluluskan peruntukan bagi pengnjuran Kursus Asas Sahibba ini. Kursus ini
julung-julung kalinya diadakan untuk mencapai beberapa objektif seperti menimbulkan
minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu melalui aktiviti
permainan bahasa, Sahibba. Selain itu, kursus ini yang dirancang secara
berfokus diharapkan akan dapat memperkaya kosa kata dan laras bahasa
murid-murid. Pada masa yang sama, kursus ini berupaya untuk menjalinkan
kerjasama antara guru dengan murid agar perasaan kesepunyaan dan kolaboratif
dapat disemai. Akhirnya kursus ini diharapkan akan berjaya meningkatkan
peratusan kuantiti dan kualiti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada semua
peringat. Penganjuran kursus ini juga bertujuan untuk menyediakan peserta agar
dapat mewakili sekolah dalam pertandingan Sahibba ke peringkat daerah, negeri dan
kebangsaan.
Kursus
Asas Sahibba telah diadakan pada 22 Februari 2013 (Jumaat) mulai jam 2:45
hingga 5:30 petang. Seramai 70 orang murid, lapan orang guru dan seorang staf
sokongan telah berjaya mengikuti kursus ini sehingga selesai. Kursus ini telah
mendapat kerjasama daripada Pusat Sumber SHAKS dan telah diadakan di Pusat Sumber SMK Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan. Para peserta
kursus telah didedahkan dengan peraturan dan cara bermain Sahibba dengan betul. Undang-undang permainan telah menyedarkan murid-murid bahawa permainan
ini mesti dikuasai sepenuhnya bagi mencapai kejayaan. Penggunaan Kamus Dewan
sebagai rujukan utama memberikan peluang kepada murid-murid untuk memperkaya
kosa kata mereka sekali gus minat menggunakan kamus sebagai sumber rujukan menjadi lebih meluas.
Kursus ini telah dibimbing oleh dua
orang guru Bahasa Melayu, iaitu Puan Mastura bt Mohamed dari SMK Paya Besar dan
Puan Sarimah bt Mohamad Nor dari SK Sungai Isap, Kuantan. "Saya dan Puan Zainurah Mohammad, selaku penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan merangkap pengelola
berasa sungguh bertuah kerana sepanjang kursus ini berlangsung, dua orang
fasilitator dari SMK Paya Besar sudi membantu", kata Cikgu Akhirruddeen Awang yang juga sebagai Munsyi Dewan di sekolah itu. Kursus ini turut dibantu oleh dua fasilitator dari SMK Paya Besar. Salah seorang fasilitator
tersebut merupakan peserta Johan peringkat Daerah Kuantan 2012 dan mendapat
tempat ke-6 dalam pertandingan peringkat negeri Pahang Darul Makmur yang
didakan pada bulan Jun 2012 di SMK Gali, Raub.
Semasa
kursus ini berlangsung, murid-murid telah menyedari bahawa banyak lagi entri
atau perkataan yang tidak diketahui. Justeru, penggunaan Kamus Dewan seharusnya
dijadikan rujukan utama sepanjang masa. Walau bagaimanapun, masih ada ruang
untuk memantapkan pengetahuan murid-murid tentang permainan Sahibba dan
diharapkan murid-murid akan menanam minat dalam diri mereka untuk bermain
Sahibba sebagai permainan altelnatif yang menyeronokkan.
Kebanyakan
peserta yang terlibat dengan kursus pada kali ini begitu asyik mempelajari ilmu
Sahibba sehingga melewati waktu yang ditetapkan (4:30 petang). Sama ada murid atau
guru, mereka berasa kurang puas kerana masa berlalu sangat pantas dan pada
pendapat mereka kursus ini seharusnya mengambil masa yang lebih panjang. Walau
bagaimanapun, secara keseluruhannya semua peserta kursus berasa seronok dengan pendedahan kursus ini dan
berharap banyak lagi ilmu yang dapat dikongsi dari semasa ke semasa.
Sebagai kesimpulannya, pihak
pengelola kursus ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga
kepada pentadbiran sekolah, khususnya Tuan Pengetua, Haji Abdul Rahim bin Mohd
Yunus kerana telah meluluskan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan
kursus ini. Semoga kursus seumpama ini akan dapat diadakan pada masa akan
datang demi faedah bersama.
Bahasa Jiwa Bangsa !
No comments:
Post a Comment