Pages

Monday, 21 January 2013

Siri 01/2013

Kesalahan Umum Tatabahasa

 Kesalahan dalam Penggunaan Kata Ganti Diri

1.  Kesalahan dalam Penggunaan Kata Ganti Diri

Kata ganti diri ialah kata yang digunakan untuk merujuk diri orang tertentu iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga.
 Contoh :
(a)   kata ganti diri orang pertama: saya, aku, beta, daku, patik, kami, kita, dan hamba.
(b)   Kata ganti diri orang kedua : anda, engkau, awak, kamu, kalian, tuanku, dan dikau.
(c)    Kata ganti diri orang ketiga : ia, dia, mereka, baginda, beliau, dan -nya.

Antara kata-kata ganti diri ini, ada yang membawa maksud tunggal (satu) dan ada yang membawa maksud jamak (lebih daripada satu).  Setiap kata ganti diri mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan.

1.1) Contoh Kesalahan.

Beliau ditangkap kerana mencuri. (salah)
Dia ditangkap kerana mencuri. (betul)

Analisis :
Kata beliau hanya boleh digunakan khusus untuk orang yang dihormati seperti ibu bapa, guru, pegawai, menteri dan sebagainya.

 1.2 ) Contoh Kesalahan

Mereka-mereka adalah pelajar yang dedikasi. (salah)
Mereka adalah pelajar yang dedikasi. (betul)

Analisis :
Kata ganti diri ketiga mereka sudah menyatakan pengertian jamak. Oleh itu tidak sesuai kata mereka dijamakkan lagi menjadi mereka-mereka.

1.3) Contoh Kesalahan.

Kasut ini mahal. Ia diimport dari Perancis. (salah).
Kasut ini mahal. Kasut ini diimport dari Perancis. (betul) atau
Kasut ini mahal kerana diimport dari Perancis. (betul)

Analisis :

Kata ganti diri boleh digunakan hanya untuk manusia sahaja.


1.4) Contoh Kesalahan.

“Perlawanan petang ini penting untuk kami,” kata jurulatih itu kepada pelatih-pelatih. (salah)
“Perlawanan petang ini penting untuk kita,” kata jurulatih itu kepada pelatih-pelatih. (betul)

Analisis :
Kami bererti “saya dan dia” apabila bercakap dengan orang kedua. Orang yang kita ajak bercakap tidak disertakan. Kita pula bererti “anda dengan saya” atau “anda dengan kami”. Orang yang kita ajak bercakap disertakan.

No comments:

Post a Comment