Pages

Saturday 16 March 2013

PERKHEMAHAN BERSEPADU UNIT BERUNIFORM 2013


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan telah berlangsung dari 15 hingga 17 Mac 2013 di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah, Pandan, Kuantan. Pada kali ini seramai 207 orang anggota kadet daripada Pengakap, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pandu Puteri, Pueri Islam dan Kadet Remaja Sekolah  telah berjaya merealisasikan objektif perkhemahan. Kem Komandan, Encik Asyarf Luqman dan Tuan Syed Haniff telah dibantu oleh lapan orang fasilitator yang juga terdiri daripada alumni SHAKS. Pada masa yang sama, kebanyakan aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan ini dikawal selia oleh jurulatih bertauliah Pusat Kokurikulum SHAH yang diketua oleh Encik Sapiee Meon selaku Ketua Unit berserta anak buahnya.

Antara objektif perkhemahan pada kali ini adalah untuk mencungkil bakat kepimpinan pelajar, melatih sikap bertanggungjawab dan menanam sikap kekeluargaan serta kerjasama dalam ahli kumpulan. Selain itu, perkhemahan pada kali ini berhasrat untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental para kadet agar mempunyai sikap berdaya saing dalam menempuh pelbagai cabaran kehidupan. Setiap kadet yang menyertai perkhemahan ini berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang sangat mencabar seperti kembara di hutan, berkayak, ‘wall climbing’ dan permainan ‘paint ball’, Setiap pasukan juga terlibat dalam pelbagai aktiviti yang berbentuk pertandingan seperti kawad kaki, masakan rimba, persembahan malam kebudayaan dan khemah terbaik.

Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus selaku Pengetua berharap para kadet dapat menimba pelbagai pengalaman melalui kepelbagaian aktiviti yang disediakan sepanjang perkhemahan pada kali ini. Pada masa yang sama, Tuan Pengetua sendiri tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti berkayak, ‘wall climbing’ dan kembara di rimba. Ketika majlis penutupan rasmi perkhemahan yang berlangsung pada 17 Mac 2013, Timbalan Kem Komander KRS SHAKS Puan Tuan Sharifah Rasidah bt Syed Abdullah juga berharap kadet-kadet yang menyertai perkhemahan pada tahun ini telah berjaya menimba sebanyak mungkin pengalaman, sekali gus menjadikan mereka lebih matang dalam menempuh kehidupan masa sekarang dan akan datang. Beliau juga berharap kepimpinan para kadet akan menjadi bertambah mantap, khususnya bagi setiap pemimpin kecil bagi pasukan masing-masing.

Puan Jamiyah bt Md Isa selaku GPK kokurikulum juga berharap para kadet berjaya membawa pulang pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dibeli melainkan menyertainya sendiri. Pada penghujung perkhemahan hadiah-hadiah disampaikan berdasarkan keputusan pertandingan seperti berikut:

Aktiviti  / Kedudukan
Johan
Naib Johan
Ketiga
Kawad Kaki
Kadet Polis
Kadet Bomba & Penyelamat
Pengakap
Masak di Rimba
KRS
PBSM
Pengakap
Persembahan Kebudayaan
PBSM
Kadet Polis
Pengakap
Khemah Terbaik
Pengakap
Puteri Islam
PBSM
Buletin ICT
KRS
Kadet Polis
Pandu Puteri


Perkhemahan pada kali ini berjaya menobatkan Pasukan Pengakap dan Kadet Mohd Firdaus dari Pasukan Bomba dan Penyelamat sebagai pasukan dan kadet terbaik.

Disediakan oleh;
Akhirruddeen bin Awang.
17 Mac 2013 (3:33 petang)