Pages

Sunday 3 March 2013

KURSUS ASAS SAHIBBA 2013 - Berjaya capai objektif !



Inisiatif untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang menarik boleh dipelbagaikan. Aktiviti permainan bahasa seperti Teka Silang Kata (Sahibba) berupaya merangsang dan mengekalkan minat agar murid-murid suka akan mata pelajaran Bahasa Melayu secara berterusan. Kegiatan berpersatuan sebenarnya merupakan aktiviti serampang dua mata  agar selari dengan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Penggemblengan seluruh tenaga guru Bahasa Melayu untuk mempelbagaikan aktiviti dalam Persatuan Bahasa Melayu telah dirancang secara berterusan agar prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu yang sedia ada akan terus dilonjakkan sehingga mencapai 100 lulus A.
        Persatuan Bahasa Melayu berasa amat bertuah apabila pihak pentadbiran SHAKS meluluskan peruntukan bagi pengnjuran Kursus Asas Sahibba ini. Kursus ini julung-julung kalinya diadakan untuk mencapai beberapa objektif seperti menimbulkan minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu melalui aktiviti permainan bahasa, Sahibba. Selain itu, kursus ini yang dirancang secara berfokus diharapkan akan dapat memperkaya kosa kata dan laras bahasa murid-murid. Pada masa yang sama, kursus ini berupaya untuk menjalinkan kerjasama antara guru dengan murid agar perasaan kesepunyaan dan kolaboratif dapat disemai. Akhirnya kursus ini diharapkan akan berjaya meningkatkan peratusan kuantiti dan kualiti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada semua peringat. Penganjuran kursus ini juga bertujuan untuk menyediakan peserta agar dapat mewakili sekolah dalam pertandingan Sahibba ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 
        Kursus Asas Sahibba telah diadakan pada 22 Februari 2013 (Jumaat) mulai jam 2:45 hingga 5:30 petang. Seramai 70 orang murid, lapan orang guru dan seorang staf sokongan telah berjaya mengikuti kursus ini sehingga selesai. Kursus ini telah mendapat kerjasama daripada Pusat Sumber SHAKS dan telah diadakan di Pusat Sumber SMK Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan. Para peserta kursus telah didedahkan dengan peraturan dan cara bermain Sahibba dengan betul. Undang-undang permainan telah menyedarkan murid-murid bahawa permainan ini mesti dikuasai sepenuhnya bagi mencapai kejayaan. Penggunaan Kamus Dewan sebagai rujukan utama memberikan peluang kepada murid-murid untuk memperkaya kosa kata mereka sekali gus minat menggunakan kamus sebagai sumber rujukan menjadi lebih meluas. 
        Kursus ini telah dibimbing oleh dua orang guru Bahasa Melayu, iaitu Puan Mastura bt Mohamed dari SMK Paya Besar dan Puan Sarimah bt Mohamad Nor dari SK Sungai Isap, Kuantan. "Saya dan Puan Zainurah Mohammad, selaku penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan merangkap pengelola berasa sungguh bertuah kerana sepanjang kursus ini berlangsung, dua orang fasilitator dari SMK Paya Besar sudi membantu", kata Cikgu Akhirruddeen Awang yang juga sebagai Munsyi Dewan di sekolah itu. Kursus ini turut dibantu oleh dua fasilitator dari SMK Paya Besar. Salah seorang fasilitator tersebut merupakan peserta Johan peringkat Daerah Kuantan 2012 dan mendapat tempat ke-6 dalam pertandingan peringkat negeri Pahang Darul Makmur yang didakan pada bulan Jun 2012 di SMK Gali, Raub.
 Semasa kursus ini berlangsung, murid-murid telah menyedari bahawa banyak lagi entri atau perkataan yang tidak diketahui. Justeru, penggunaan Kamus Dewan seharusnya dijadikan rujukan utama sepanjang masa. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk memantapkan pengetahuan murid-murid tentang permainan Sahibba dan diharapkan murid-murid akan menanam minat dalam diri mereka untuk bermain Sahibba sebagai permainan altelnatif yang menyeronokkan.
 Kebanyakan peserta yang terlibat dengan kursus pada kali ini begitu asyik mempelajari ilmu Sahibba sehingga melewati waktu yang ditetapkan (4:30 petang). Sama ada murid atau guru, mereka berasa kurang puas kerana masa berlalu sangat pantas dan pada pendapat mereka kursus ini seharusnya mengambil masa yang lebih panjang. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya semua peserta kursus berasa seronok dengan pendedahan kursus ini dan berharap banyak lagi ilmu yang dapat dikongsi dari semasa ke semasa.












 Sebagai kesimpulannya, pihak pengelola kursus ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pentadbiran sekolah, khususnya Tuan Pengetua, Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus kerana telah meluluskan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan kursus ini. Semoga kursus seumpama ini akan dapat diadakan pada masa akan datang demi faedah bersama.

Bahasa Jiwa Bangsa !