Pages

Saturday 16 March 2013

PERKHEMAHAN BERSEPADU UNIT BERUNIFORM 2013


Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform SMK Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan telah berlangsung dari 15 hingga 17 Mac 2013 di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah, Pandan, Kuantan. Pada kali ini seramai 207 orang anggota kadet daripada Pengakap, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat, Pandu Puteri, Pueri Islam dan Kadet Remaja Sekolah  telah berjaya merealisasikan objektif perkhemahan. Kem Komandan, Encik Asyarf Luqman dan Tuan Syed Haniff telah dibantu oleh lapan orang fasilitator yang juga terdiri daripada alumni SHAKS. Pada masa yang sama, kebanyakan aktiviti yang dijalankan semasa perkhemahan ini dikawal selia oleh jurulatih bertauliah Pusat Kokurikulum SHAH yang diketua oleh Encik Sapiee Meon selaku Ketua Unit berserta anak buahnya.

Antara objektif perkhemahan pada kali ini adalah untuk mencungkil bakat kepimpinan pelajar, melatih sikap bertanggungjawab dan menanam sikap kekeluargaan serta kerjasama dalam ahli kumpulan. Selain itu, perkhemahan pada kali ini berhasrat untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental para kadet agar mempunyai sikap berdaya saing dalam menempuh pelbagai cabaran kehidupan. Setiap kadet yang menyertai perkhemahan ini berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang sangat mencabar seperti kembara di hutan, berkayak, ‘wall climbing’ dan permainan ‘paint ball’, Setiap pasukan juga terlibat dalam pelbagai aktiviti yang berbentuk pertandingan seperti kawad kaki, masakan rimba, persembahan malam kebudayaan dan khemah terbaik.

Tuan Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus selaku Pengetua berharap para kadet dapat menimba pelbagai pengalaman melalui kepelbagaian aktiviti yang disediakan sepanjang perkhemahan pada kali ini. Pada masa yang sama, Tuan Pengetua sendiri tidak melepaskan peluang untuk melakukan aktiviti berkayak, ‘wall climbing’ dan kembara di rimba. Ketika majlis penutupan rasmi perkhemahan yang berlangsung pada 17 Mac 2013, Timbalan Kem Komander KRS SHAKS Puan Tuan Sharifah Rasidah bt Syed Abdullah juga berharap kadet-kadet yang menyertai perkhemahan pada tahun ini telah berjaya menimba sebanyak mungkin pengalaman, sekali gus menjadikan mereka lebih matang dalam menempuh kehidupan masa sekarang dan akan datang. Beliau juga berharap kepimpinan para kadet akan menjadi bertambah mantap, khususnya bagi setiap pemimpin kecil bagi pasukan masing-masing.

Puan Jamiyah bt Md Isa selaku GPK kokurikulum juga berharap para kadet berjaya membawa pulang pengalaman yang sangat berharga dan tidak dapat dibeli melainkan menyertainya sendiri. Pada penghujung perkhemahan hadiah-hadiah disampaikan berdasarkan keputusan pertandingan seperti berikut:

Aktiviti  / Kedudukan
Johan
Naib Johan
Ketiga
Kawad Kaki
Kadet Polis
Kadet Bomba & Penyelamat
Pengakap
Masak di Rimba
KRS
PBSM
Pengakap
Persembahan Kebudayaan
PBSM
Kadet Polis
Pengakap
Khemah Terbaik
Pengakap
Puteri Islam
PBSM
Buletin ICT
KRS
Kadet Polis
Pandu Puteri


Perkhemahan pada kali ini berjaya menobatkan Pasukan Pengakap dan Kadet Mohd Firdaus dari Pasukan Bomba dan Penyelamat sebagai pasukan dan kadet terbaik.

Disediakan oleh;
Akhirruddeen bin Awang.
17 Mac 2013 (3:33 petang)



























Saturday 9 March 2013

TAZKIRAH MAGHRIB

PROGRAM BINA INSAN : TAZKIRAH MAGHRIB
MASA : SELEPAS SOLAT MAGHRIB- SOLAT ISYAK 
HARI   : SETIAP MALAM (ISNIN -AHAD)
PENCERAMAH: GURU - GURU SHAKS (BERJADUAL)

Tazkirah Maghrib merupakan salah satu pengisian rohani yang dirancang oleh Unit Bina Insan  kepada murid- murid SHAKS bagi melahirkan modal insan yang berkualiti berwatak insani .Tazkirah ini disampaikan oleh guru - guru SHAKS yang berwawasan tinggi dan komited secara bergilir mengikut jadual .
Unit Bina Insan SHAKS merakamkan ucapan terima kasih kepada semua atas sokongan yang diberikan.

TAZKIRAH MAGHRIB
TARIKH: 2 MAC 2013









Monday 4 March 2013

SHAKS terpilih mewakili Kuantan ke Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja 1 Malaysia 2013


Pada 1 hingga 3 Mac 2013, Jabatan Pelajaran Pahang telah mengadakan Program Pembinaan Bakat Tunas Muda (SR) dan Tunas Remaja (SM) 1 Malaysia, bertempat di Hotel Seri Malaysia, Temerloh. Semua Pejabat Pelajaran Daerah di negeri ini menghantar wakil seramai empat orang murid SR dan 4 orang murid SM bagi menimba ilmu pengetahuan tentang aspek penulisan kreatif. Kursus anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah ini mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pelajaran Pahang.
         Tiga orang pelajar yang sangat bertuah itu ialah Syed Amri Izzudin bin Syed Kamaruddin, Ahmad Azim bin Sukarno dan Mohammad Qiwamuddin bin Hamdan (Kelas 4 IB). Mereka bukan sahaja berpeluang menimba ilmu dalam bidang penulisan kreatif seperti puisi dan cerpen, malahan turut mendapat kenalan baru dari sekolah-sekolah seluruh negeri Pahang Darul Makmur. Kursus yang berlangsung itu telah dibimbing oleh penyajak terkenal, iaitu Masli N.O. dan penulis cerpen Zarina Ibrahim. Peserta-peserta kursus turut diberi peluang menghasilkan karya masing-masing dan menghantar kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Sekiranya hasil penulisan kreatif mereka menepati kriteria yang ditetapkan, pihak Editor Majalah seperti Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat akan menerbitkan karya mereka untuk tatapan umum.
          Guru Pengiring, Encik Akhirruddeen Awang selaku Penasihat Persatuan Bahasa Melayu bukan sahaja berpeluang menjadi Guru Pengiring bagi program tersebut, malahan semua guru pengiring yang hadir pada program tersebut mendapat manfaat berganda apabila mereka dibimbing dalam Klinik Pemantapan Komponen Sastera (KOMSAS) selama tiga hari berkenaan.
         Pada majlis penutupan rasmi yang disempurnakan oleh Haji Abdul Raof bin Haji Jali, Ketua Sektor Kemanusiaan dari Jabatan Pelajaran Pahang, beliau berharap bakat yang digilap selama tiga har itu akan dapat melahirkan penulis atau pengkarya seni kreatif yang boleh dibanggakan. Sebelum itu, dalam ucapan alu-aluannya, Puan Hajah Che Zainab bt Omar, selaku Pengarah DBP Wilayah Tengah,  sangat berharap agar jalinan kerjasama antara DBP dengan JPN dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi faedah bersama. Sebelum menutup ucapannya, Pengarah DBP Wilayah Tengah menzahirkan rasa bangga dan terima kasihnya kepada pihak Jabatan Pelajaran Pahang atas jalinan kerjasama yang sangat padu.

Sunday 3 March 2013

KURSUS ASAS SAHIBBA 2013 - Berjaya capai objektif !



Inisiatif untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai sesuatu yang menarik boleh dipelbagaikan. Aktiviti permainan bahasa seperti Teka Silang Kata (Sahibba) berupaya merangsang dan mengekalkan minat agar murid-murid suka akan mata pelajaran Bahasa Melayu secara berterusan. Kegiatan berpersatuan sebenarnya merupakan aktiviti serampang dua mata  agar selari dengan proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Penggemblengan seluruh tenaga guru Bahasa Melayu untuk mempelbagaikan aktiviti dalam Persatuan Bahasa Melayu telah dirancang secara berterusan agar prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu yang sedia ada akan terus dilonjakkan sehingga mencapai 100 lulus A.
        Persatuan Bahasa Melayu berasa amat bertuah apabila pihak pentadbiran SHAKS meluluskan peruntukan bagi pengnjuran Kursus Asas Sahibba ini. Kursus ini julung-julung kalinya diadakan untuk mencapai beberapa objektif seperti menimbulkan minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu melalui aktiviti permainan bahasa, Sahibba. Selain itu, kursus ini yang dirancang secara berfokus diharapkan akan dapat memperkaya kosa kata dan laras bahasa murid-murid. Pada masa yang sama, kursus ini berupaya untuk menjalinkan kerjasama antara guru dengan murid agar perasaan kesepunyaan dan kolaboratif dapat disemai. Akhirnya kursus ini diharapkan akan berjaya meningkatkan peratusan kuantiti dan kualiti dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada semua peringat. Penganjuran kursus ini juga bertujuan untuk menyediakan peserta agar dapat mewakili sekolah dalam pertandingan Sahibba ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 
        Kursus Asas Sahibba telah diadakan pada 22 Februari 2013 (Jumaat) mulai jam 2:45 hingga 5:30 petang. Seramai 70 orang murid, lapan orang guru dan seorang staf sokongan telah berjaya mengikuti kursus ini sehingga selesai. Kursus ini telah mendapat kerjasama daripada Pusat Sumber SHAKS dan telah diadakan di Pusat Sumber SMK Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan. Para peserta kursus telah didedahkan dengan peraturan dan cara bermain Sahibba dengan betul. Undang-undang permainan telah menyedarkan murid-murid bahawa permainan ini mesti dikuasai sepenuhnya bagi mencapai kejayaan. Penggunaan Kamus Dewan sebagai rujukan utama memberikan peluang kepada murid-murid untuk memperkaya kosa kata mereka sekali gus minat menggunakan kamus sebagai sumber rujukan menjadi lebih meluas. 
        Kursus ini telah dibimbing oleh dua orang guru Bahasa Melayu, iaitu Puan Mastura bt Mohamed dari SMK Paya Besar dan Puan Sarimah bt Mohamad Nor dari SK Sungai Isap, Kuantan. "Saya dan Puan Zainurah Mohammad, selaku penasihat Persatuan Bahasa Melayu dan merangkap pengelola berasa sungguh bertuah kerana sepanjang kursus ini berlangsung, dua orang fasilitator dari SMK Paya Besar sudi membantu", kata Cikgu Akhirruddeen Awang yang juga sebagai Munsyi Dewan di sekolah itu. Kursus ini turut dibantu oleh dua fasilitator dari SMK Paya Besar. Salah seorang fasilitator tersebut merupakan peserta Johan peringkat Daerah Kuantan 2012 dan mendapat tempat ke-6 dalam pertandingan peringkat negeri Pahang Darul Makmur yang didakan pada bulan Jun 2012 di SMK Gali, Raub.
 Semasa kursus ini berlangsung, murid-murid telah menyedari bahawa banyak lagi entri atau perkataan yang tidak diketahui. Justeru, penggunaan Kamus Dewan seharusnya dijadikan rujukan utama sepanjang masa. Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk memantapkan pengetahuan murid-murid tentang permainan Sahibba dan diharapkan murid-murid akan menanam minat dalam diri mereka untuk bermain Sahibba sebagai permainan altelnatif yang menyeronokkan.
 Kebanyakan peserta yang terlibat dengan kursus pada kali ini begitu asyik mempelajari ilmu Sahibba sehingga melewati waktu yang ditetapkan (4:30 petang). Sama ada murid atau guru, mereka berasa kurang puas kerana masa berlalu sangat pantas dan pada pendapat mereka kursus ini seharusnya mengambil masa yang lebih panjang. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya semua peserta kursus berasa seronok dengan pendedahan kursus ini dan berharap banyak lagi ilmu yang dapat dikongsi dari semasa ke semasa.












 Sebagai kesimpulannya, pihak pengelola kursus ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pentadbiran sekolah, khususnya Tuan Pengetua, Haji Abdul Rahim bin Mohd Yunus kerana telah meluluskan peruntukan yang agak besar bagi melaksanakan kursus ini. Semoga kursus seumpama ini akan dapat diadakan pada masa akan datang demi faedah bersama.

Bahasa Jiwa Bangsa !