Pages

Saturday 14 April 2012

SHAKS Debate!

Assalamualaikumuwarahmatullahiwabarakatuh.
Terima kasih kerana sudi membaca SHAKSBITES, macam mana Ujian 2? Okay?
Dah lama rasanya tak ber-update blog ni, kali ni saya nak cerita pasal SHAKS Debate!


Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Pahang.

Seperti yang diketahui  warga SHAKS, SMK Sultanah Hajjah Kalsom telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Daerah Kuantan. Kita telah mengalahkan SMK Abdul Rahman Talib pada peringkat separuh akhir dan saudari Fatehah Roslan telah mencapai anugerah pembahas terbaik pada peringkat ini. Seterusnya, pada peringkat final SHAKS telah bertemu SMK Bukit Rangin (SMKBR) dan sekali lagi Alhamdullillah usul dewan pada hari itu ditolak. Pada peringkat ini saudara Wan Muhammad Ashraf telah mendapat anugerah pembahas terbaik. Tahniah diucapkan!
-------------------------------------------------------------------
Pada tanggal 2 April-5 April 2012, pihak sekolah telah menghantar seramai 5 orang pembahas wakil SHAKS sekaligus wakil Kuantan untuk bertanding bagi peringkat negeri di SMK Gali, Raub. Tak lupa juga guru pengiring yang tidak pernah putus asa, Datin Normadiah bersama Puan Roihanah.


Yang Amat Berhormat sekalian.
Untuk pusingan kelayakan, SHAKS telah bertemu SMK Sulaiman dari daerah Bentong. Usul dewan pada waktu itu adalah, Kegiatan Kokurikulum Menjadi Pemangkin Kecemerlangan Pelajar. Setelah diundi oleh ketua kumpulan, Wan Muhammad Ashraf, SHAKS telah mendapat KERAJAAN. Setelah dikuarantin selama 1 jam,  SHAKS bertemu SMK Sulaiman di dewan persidangan. Alhamdulillah, usul dewan pada hari itu telah diterima oleh para hakim bersama isi dewan.

Seterusnya, SHAKS bertemu dengan SMK Keratong dari daerah Rompin untuk pusingan suku akhir. Usul yang dikeluarkan pada hari itu, Program Kitar Semula Mampu Meningkatkan Kesedaran Terhadap Alam Sekitar. Setelah saudara Ashraf mencabut undi, SHAKS telah mendapat undi sebagai PEMBANGKANG. Tugas mereka adalah untuk meminda usul dewan kepada Program Kitar Semula Tidak Mampu Meningkatkan Kesedaran Terhadap Alam Sekitar. Alhamdulillah, SHAKS menang sekali lagi! Usul dewan telah ditolak! Tidak lupa, untuk pusingan suku akhir ini, saudara Wan Muhammad Ashraf telah menggondol anugerah Pembahas Terbaik! Tahniah buat beliau!

Pada pusingan separuh akhir, SHAKS telah bertemu SMK Clifford dari daerah Kuala Lipis di bawah tajuk Sekolah Berprestasi Mampu Meningkatkan Institusi Pendidikan Negara. Setelah mencabut undi, SHAKS sekali lagi mendapat gelaran KERAJAAN. Alhamdulillah SHAKS telah menang untuk pusingan kali ini sekaligus bermaksud SHAKS layak ke final! Dan satu lagi berita gembira untuk warga SHAKS, saudara Haziq Abdullah kita telah mendapat anugerah Pembahas Terbaik pada pusingan ini. Tahniah buat saudara Haziq!


Pada pusingan final, SHAKS telah bertemu dengan SMK Ahmad dari daerah Pekan. Memang padan untuk pusingan final, perlawanan SHAKS vs SMK Ahmad sungguh sengit. Bukan saja dapat dirasakan oleh pembahas yang berada di atas pentas tapi juga bagi penonton yang berada di dalam dewan. Usul yang dikeluarkan adalah Pertumbuhan Ekonomi Negara Bergantung kepada Tenaga Buruh Asing. SHAKS telah mendapat KERAJAAN.

Keputusan pertandingan telah menyatakan bahawa usul dewan yang dikeluarkan telah ditolak. Ini bermakna SMK Ahmad telah menggondol gelaran juara. Walaubagaimanapun, tahniah buat pasukan bahas SHAKS, Datin Normadiah dan Cikgu Roihanah kerana telah mendapat Naib Juara. Ini adalah rekod sekolah! Syabas diucapkan!


Dan di kesempatan ini, saya wakil pasukan bahas SHAKS sendiri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong kami secara langsung atau secara tidak langsung. Terutama yang sentiasa mendoakan kejayaan kami!

Yang didahulukan, pengetua SHAKS, Tuan Haji Abdul Rahim yang tidak lokek dengan kata semangat dan doa beliau! GPK Kokurikulum, Puan Tuan Sharifah Rashidah dan Encik Khairul Zukri, GPK HEM.Terutamanya kepada Datin Normadiah dan Puan Roihanah yang sentiasa korbankan masa dan tenaga untuk membantu kami serta guru panitia Bahasa Melayu, Puan Zainurah dan Puan Sabariah. Seterusnya,Puan Suharti dan Puan Wan Samihah yang membenarkan kami berkampung di Pusat Sumber Sekolah dan Bilik PPSMI untuk membuat persediaan pertandingan bahas.

Tidak lupa buat, Encik Kamal yang membawa kami ke Raub tanpa sebarang keluhan. Walaupun terpaksa meninggalkan Kuantan selama 4 hari, terima kasih ya Encik Kamal! Seterusnya guru-guru yang sentiasa menyokong kami dan cakna terhadap perkembangan pasukan bahas ketika kami di Raub. Dan akhir sekali, tidak lupa kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi kata semangat dan yang sentiasa berdoa agar SHAKS sentiasa di hadapan! Agar Kuantan sentiasa di hadapan!

Akhir sekali, diharapkan kejayaan ini menjadi satu tonggak kepada warga SHAKS yang lain untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang terutama dalam kurikulum dan kokurikulum. Seterusnya kejayaan ini diharapkan mendapat sambutan buat pelajar yang lain untuk cemerlang sekaligus menaikkan nama, SMK Sultanah Hajjah Kalsom! Insya-Allah.

Semoga bertemu di lain entry, waslam.